Monday, July 14, 2014

BEKAM BUANG DARAH KOTOR GANTI ANTIBODI BARU



MAJALAH MIDI BIL. 189 15 JULAI 2014
RAWATAN ALTERNATIF
TEKS & FOTO: NORASIDA MOHAMAD YASIN
LOKASI: PUSAT TERAPI SYIFA, 13B JALAN PLUMBUM Q7/Q, SEK. 7 SHAH ALAM, SELANGOR


Bekam boleh merawat pelbagai penyakit secara umum dan khusus, antara penyakit yang boleh dirawat dengan menjalani proses bekam termasuklah penyakit seperti darah tinggi, diabetes, asma, migrain, stres, nyeri, gout, stress, kebas, strok, lemah, lesu, sukar tidur, gangguan sihir dan banyak lagi.

PROSES DETOKS

"Detoksifikasi, istilah yang digunakankan untuk proses pengeluaran darah kotor melalui rawatan bekam.  Melalui rawatan ini segala bahan toksin (bahan beracun) dan sel darah merah yang mati dari dalam tubuh badan.  Sebenarnya sel hayat sel darah merah dalam tubuh hanya empat bulan sahaja.  Selepas tempoh ini, ia akan mati dan sel mati ini akan meresap ke lapisan kulit.

"Semasa proses bekam, sel mati akan dikeluarkan bersama darah kotor melalui tusukan jarum halus pada kulit dan segera digantikan dengan sel antibodi yang baru.  Disebabkan tusukan jarum ini dilakukan pada titik akupunktur maka ia segera respons pada sistem saraf yang secara tidak langsung mengalirkannya kepada organ-organ lain dalam tubuh.  Maka dengan sendirinya organ-organ ini turut dilindungi oleh antibodi daripada virus pathogen yang sering dikaitkan sebagai penyebab utama kebanyakan penyakit.  Masa yang sama tusukan jarum bekam yang halus ini berupaya mengeluarkan sel darah kotor ke permukaan kulit.

RANGSANG SEL ANTIBODI

"Mengeluarkan darah kotor dan merangsang sel antibodi baru inilah yang dikatakan proses 'Penyembuhan'.  Inilah yang dinamakan mukjizat perubatan sunnah kerana saranan Rasulullah SAW dalam kaedah perubatan sudah pastinya ada jaminan kesembuhan daripada Allah SWT," ujar Ustaz Khairul Aswat Abdul Rahman yang hanya melakukan bekam pada pesakit lelaki, untuk wanita jurubekam wanita yang akan melakukannya.

Menurut Ustaz Aswat, setiap pesakit yang datang ke pusat rawatan, mereka akan mengadakan sesi kaunseling dan suai kenal dengan pesakit terlebih dahulu bagi menghilangkan rasa takut dan mendapatkan sedikit input penyakitnya.

"Selepas itu baru saya lakukan scan batin ke atas pesakit untuk mengenal pasti masalah sebelum mengesyorkan rawatan yang sesuai.  Sebelum memulakan rawatan, saya akan minta pesakit bertenang, pejamkan mata sambil banyakkan beristighfar dan bersyahadah sambil saya akan melakukan rukyah (membacakan beberapa ayat suci Al-Quran) untuk memastikan ada gangguan sihir atau tidak."

"Darah kotor dan angin yang dikeluarkan dari badan melalui bekam ini mengandungi urik asid, lemak, kolesterol dan toksin.  Melalui tekstur darah juga boleh dikenali pasti jenis penyakit yang dihidapi.  Contoh warna darah kehitaman (banyak urik asid dan toksin), pekat bertali dan berlendir (gangguan sihir, banyak lemak dan kolesterol) dan darah berbuih atau cup berwap (banyak angin)."

"Mengikut sunnah kita disarankan berbekam sebulan sekali atau sekurang-kurangnya empat bulan sekali kerana dengan mengeluarkan sel darah kotor ini sel mati akan digantikan dengan sel baru yang menguatkan sistem antibodi tubuh.

Proses bekam juga boleh dilakukan lapan kali dalam satu masa, tetapi jika pesakit fobia, cukup dengan dua kali, begitu juga dengan kanan-kanak, cukup dua kali sahaja," ujarnya lagi.

Bekam darah dilakukan untuk keluarkan darah kotor dan angin dari badan yang mengandungi urik asid, lemak, kolesterol dan toksin.  Selalunya darah yang keluar adalah seperti:

Warna kehitaman - banyak urin asid dan toksin.
Pekat, bertali atau berlendir - banyak lemak dan kolesterol.
Berbuih atau cup bekam berwap - banyak angin.

NOTA:
  • Pesakit dinasihatkan untuk berpuasa 3-4 jam sebelum proses berbekam dan rehat 1-2 jam dari tidur, makan dan mandi.
  • Jika ada gangguan sihir, pesakit disarankan mandi ais.
  • Pesakit digalakkan mengambil Habatussauda, minyak zaitun dan madu lebah.
  • Proses bekam menggunakan teknik tusukan jarum bukan torehan pisau.
  • Setiap titik akupunktur yang dibekam ada dikaitkan dengan penyakit-penyakit tertentu.